Tuesday, February 14, 2012

Diam dalam berbicara.

Sepi. Tiada apa yang dapat diperkatakan. Tiada satu perkataan yang mampu keluar dari bibir ini. Angin malam perlahan lahan membelai pipiku lembut. Damai. Suasana yang jarang sekali kita hargai.
Aku mendongakkan kepalaku. Bintang bintang malam ini terang bersinar. Aku bilang satu persatu, lapan kesemuanya. Indah sekali ciptaan Yang Maha Esa. Alangkah indahnya jika duniaku seperti bintang? Tidak ada siapa yang tahu apa yang sebenarnya ada disana tapi semua mengakui keindahannya. 

Aku toleh pula ke hadapan ku. Mengamati laut yang luas terbentang. Alunan ombak di persisiran pantai membuatkan hati ku terpana. Sungguh tenang. Jarang sekali dapat aku nikmati suasana ini. 

Aku menikmati perlahan lahan suasana malam ini. Aku tersedar, suasana yang sepi ini menyimpan seribu satu cerita. Cerita yang tidak mungkin dapat sang mulut gambarkan. 

Malam ini, aku pelajari satu lagi erti kehidupan. Kekal berdiam dalam berbicara, tiada siapa yang akan tahu, tiada hati yang akan terluka tapi perlulah kau tanggung sengsaranya. Lantang kau berkata, ramai yang akan mendengar tapi ada yang akan terluka.

Mungkin cara yang terbaik untuk aku sekarang adalah kekal berdiam. Kerana aku tahu betapa pedihnya rasa hati apabila dilukai. Ya, teruskan berdiam dan tanggunglah sengsaranya tanpa banyak bicara!




Saturday, February 11, 2012

Ibu

Manik manik kaca itu jelas membasahi pipiku. Aku terdiam seribu bahasa. Tiada kata yang mampu aku lafazkan  ketika ini... Hanya mampu menyebut namaMU Yang Maha Esa.

Tidakku sangka, ini akan terjadi. Apatah lagi menduga ini akan berlaku. Aku sedar, aku masih terpasak di bumi yang nyata, bukan di awang awangan. Cuma mungkin sebagai insan yang lemah, minda ku ini masih belum lagi mampu menginterpretasikan segala peristiwa yang berlaku.

Detik demi detik masa berlalu. Membiarkan aku keseorangan. Seorang insan yang sentiasa alpa dan leka. Sungguh hebat sekali dugaan ini. Entah bagaimana, entah mengapa. Aku membiarkan persoalan itu bermain main di fikiran ku.

Nyata, aku perlukan sedikit kekuatan, aku perlukan sedikit sokongan. Tapi sayang, berat sekali untuk mulut ini melafazkan. Entah mengapa. Adakah kerana sifat ku yang terlalu ego? Atau aku yang tidak sampai hati untuk melihat insan yang aku sayangi sengsara.

Tapi, ketahuilah, jauh di sanubari ku, adanya namamu. Selamanya di situ. Yang tidak akan sekali pun hilang dari hatiku.

Hari silih berganti tanpa sebarang amaran. Aku kian gelisah. Menghitung hari. Detik demi detik. Berapa banyak lagi masa yang ada? Aku tidak pasti. Berapa banyak lagi masa yang aku mampu luangkan bersamanya? Hanya menjadi persoalan di minda ku.

Aku cuba menatap wajah tua itu. Wajah yang menjadi sumber inspirasi ku. Kedut kedut tua jelas kelihatan di pipinya. Kelihatan dia tersenyum kepadaku. Aku tahu, dengan senyuman itulah dia mengajar aku bertatih, dengan senyuman itulah dia mengajar aku ABC, dan dengan senyuman itulah dia menjaga ku bagai menatang minyak yang penuh.

Ingin sekali aku putarkan masa ini kembali ke masa dulu. Tapi sayang. Ianya hanyalah sebuah angan angan. Ya... Angan angan yang hanya akan kekal sebagai angan angan.

I LOVE YOU MOM!